OnlineLahTauke! Bring Your Business Online!

Sunday, 16 December 2012

Apa itu Pembelajaran Sepanjang Hidup?

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Pembelajaran Sepanjang Hidup


Pembelajaran ialah proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat di mana-mana tempat dan pada sebarang masa. Menurut Kamus Dewan Bahasa, pembelajaran adalah proses belajar untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan menjalani latihan( kemahiran ).

Menuntut ilmu merupakan suatu keperluan asas yang wajib bagi setiap individu tanpa mengira kaum dan agama. Agama Islam sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa belajar ilmu itu adalah wajib yang berterusan dari buaian sampai ke liang lahad. Baginda Rasulullah SAW menjelaskan dalam Hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa mencari ilmu pengetahuan itu merupakan kewajiban ke atas setiap Muslim. Kewajiban mencari ilmu itu seharusnya difahami sebagai suatu proses sepanjang hayat dan bukan setakat pada tempoh atau umur tertentu. Melalui periwayatan al-Tabrani, Abu Na'im dan Ibn Abd al-Barr, Baginda Rasulullah mengatakan bahawa tidak ada makna bagi hari yang dilalui sekiranya tidak berlaku pertambahan ilmu yang sifatnya boleh menambah nilai ketakwaan kepada dirinya.

Agama Islam tidak bermula dengan perintah penyembahan atau ketundukan kepada Allah sebagai Pencipta manusia dan sekalian makhluk di atas muka bumi ini. Tetapi sebaliknya dimulakan dengan perintah yang berkaitan dengan pendidikan iaitu suruhan membaca( Iqra') sebagai salah satu wahana untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Agama Islam juga merupakan agama yang sangat teliti dan ketelitian itu bermula dari peringkat pengenalan lagi. Manusia perlu mengenali Tuhannya dengan ilmu. Seterusnya, manusia harus terus mengharungi kehidupan ini dengan pembelajaran secara berterusan, supaya manusia bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan hidupnya tetapi kehidupan secara bermaruah dan bermakna. Ini kerana pembelajaran begini dapat memperbaiki kehidupan seseorang melalui peningkatan kemahiran kerja, pengislahan sahsiah diri dan bertambahnya ilmu pengetahuan.

Terima kasih..salam dari pantai timur.
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...